Ibnuhayyan’s Weblog


Al-Habib Abdullah bin Alwi bin Muhammad Al-haddad
September 25, 2008, 3:49 am
Filed under: Inspirasi Q | Tags:

Beliau adalah Syeikh Al-Islam, atau mahaguru, penganjur dan pemimpin utama dalam jejak dakwah dan pendidikan, dari keturunan Sayyid, yang mulia, Abdullah bin Alwi Al-Haddad Al-Alawi Al-Husaini Al-Hadrami As-Syafa’i, Imam Ahli zamannya, yang sering berdakwah kepada jalan Allah, berjuang untuk mengembangkan agama yang suci dengan lisan dan penanya yang menjadi tumpuan dan rujukan orang ramai dalam ilmu pengetahuan.
Beliau telah dilahirkan di salah sebuah kampung di kota Tarim, iaitu salah satu kota negeri Hadhramaut yang terkenal, pada malam 5 haribulan Safar, tahun 1044 Hijrah Di sanalah beliau mendapat pelajaran Al-Quranul Karim serta menghafalnya. Beliau lalu dibesarkan di kota tersebut, yang terkenal sebagai pusat penetapan kaum Ashraf (keturunan Sayyid) dari keturunan Sayyidina Husin bin Ali bin Abi Thalib, ayah beliau Sayyid ‘Alwiy bin Muhammah Al-Haddad, seorang yang saleh, hidup suci dan juga merupakan Ahlullah (Waliyullah). Ibu Beliau bernama Syarifah Salmah yang merupakan cucu yang soleh dari Al-‘Arif billah Sayyid Ahmad Bin Muhammad Al- Habsyi.
Di masa kecil, beliau kehilangan pandangannya disebabkan tekanan penyakit cacar. Akan tetapi Allah SWT telah menggantikan pandangan lahir itu dengan pandangan batin. Beliau terus menuntut ilmu agama dan mendalaminya, sehingga menjadi pintar dan jaguh dalam segala seluk-beluknya. Kemudian beliau mendampingi para ulama yang terkenal di zamannya, sehingga Allah Ta’ala mengaruniakan kekuatan menghafal yang sangat menakjubkan serta fahaman yang luar biasa. Beliau terus bersungguh-sungguh dalam menjalankan amal ibadatnya, menyertakan amal di samping ilmu. Demikianlah cara hidup beliau dari sejak umur remaja hingga ke umur dewasa dan ke umur tua.
Kemudian beliau mulai aktif untuk mendidik murid-muridnya, dan membimbing peminat-peminat untuk menuju ke jalan Allah Ta’ala. Lantaran itu, ramailah pelajar-pelajar yang datang mengunjunginya dari merata ceruk dan rantau, sehingga dengan itu tersebar luaslah manfaat yang ditabur oleh beliau ke merata tempat.
Beliau sering juga merantau dan mengunjungi beberapa negeri untuk tujuan dakwah dan menyebarkan ilmu pengetahuan, sehingga tersebar luaslah pula pengajaran ilmu agama itu kepada orang ramai. Beliau juga seorang penyair yang berbakat; apabila mengungkapkan syairnya, nescaya mempersonakan. Juga seorang penuls yang puitis. Tulisannya sungguh mengharu dan memikat hati. Apabila berpidato, sering menimbulkan minat untuk mendengar, dan apabila berhujah, sering melumpuhkan.
Beliau terkenal sebagai seorang pengarang yang jelas segala ibaratnya, kukuh dalam pengolahannya, mendalam segala perbahasannya, meneliti dalam pengambilannya, hujahnya terang, penerangannya mengkagumkan, amat luas interpretasinya. Beliau sering mengukuhkan pembicaraannya dengan ayat-ayat Al-Quranul Karim, dengan hadis-hadis Nabi SAW dan kata bicara dari para tokoh dan imam, untuk mencabut dari gangguan-ganguan dalam diri dan was-was dalam dada setiap yang syubhat dan memperbetulkan setiap buruk sangka, sehingga tiada ditinggalkan sesuatu mushkilah pun melainkan dicelanya, atau sesuatu persoalan pun melainkan dijawabnya. Yang demikian itu dapat diikuti dalam semua karangan-karangannya, umpamanya “An-Nashaa’ih Ad-Diiniyah” dan sebuah risalah yang berjudul “Ad-Da’wah At-Taammah”, dan risalah yang lain lagi berjudul “Al-Muzakkarah Ma’a Al-Ikhwan Wal-Muhibbin”, yang lain lagi “Al-Fawassal Al-’Ilmiyyah” dan “Ithaf As-Sa’al Ba’jawabah Al-Masa’al” dan sebuah dewan (kumpulan syairnya) yang terkenal itu. Beliau r.a. telah diwafatkan pada petang hari Selasa, 7 haribulan Dzulkaedah tahun 1132 Hijrah, dan dikebumikan di perkuburan Zanbal, kota Tarim. Moga-moga Alah menggandakannya dengan balasan pahala yang banyak. Karangan Beliau yang sangat makhsyur dan diamalkan kebanyakan muslim di muka bumi ini salah satunya “Ratib Haddad”.


Leave a Comment so far
Leave a comment



Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s



%d bloggers like this: